Pendahuluan
Bangsa-bangsa di Malaysia selain etnik Melayu dewasa ini acap kali mempersoalkan persoalan diversiti dan realiti demokrasi di Malaysia. Isu kedudukan Islam, etnik Melayu, dasar bahasa Melayu, dasar kebudayaan kebangsaan, dasar pendidikan negara (DPN) dan sebagainya sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia merupakan antara isu pokok; seolah-olah anti diversiti atau tidak menghayati falsafah demokrasi sejagat.

Suatu artikel yang menarik untuk diwacanakan oleh komuniti mahasiswa, ahli akademia hatta ahli politik yang waras; adalah sebagaimana yang diketengahkan oleh Kolumnis Malaysiakini – Lee Ban Chen, Mampukah Demokrasi Menangani Diversiti? (rujuk Malaysiakini.com; 12 Sept. 2007, 4.06pm).

Demokrasi didifinisikan sebagai suatu bentuk kerajaan di mana kuasa mengubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat atau wakil-wakil rakyat.

Ciri-ciri am demokrasi adalah keterbatasan kuasa melalui perlembagaan negara, doktrin pengasingan kuasa, pembentukan kerajaan melalui proses pilihanraya, jaminan kebebasan (mengundi, bersuara, berpersatuan, akhbar dll), menjunjung Rule of law dan berpendidikan hak asasi manusia-sivik.

Anti kepada demokrasi dikenali sebagai autokrasi (seperti Myanmar dll) atau teokrasi (seperti Vetican City). Demokrasi juga ada kalanya berupa ekstream seperti aliran anarkisme dan komunisme (rujuk teori Karl Mark).

Diversiti membawa makna kepelbagaian. Kepelbagaian ini boleh diukur dalam banyak segi sama ada kepercayaan, etniksiti, bahasa pertuturan, kebudayaan dan sebagainya. Lanskap sosial Malaysia menyaksikan nilai etniksiti ini terlalu dominan dalam perlembagaan dan mempengaruhi nilai-nilai sejagat yang lain – kepercayaan, etniksiti, bahasa pertuturan, kebudayaan dalam realiti masyarakat di Malaysia.

Diversiti ini, jika dirujuk pada Perlembagaan Malaysia seseolah-olah tidak wujud, walaupun perlembagaan ini dibentuk berasaskan ruh atau spirit demokrasi dan realiti rumpun bangsa Malaysia yang plural.

Secara implisisnya, falsafah demokrasi dan realiti diversiti ini seolah-olah bertentangan antara satu sama lain jika dilihat secara harfiah pada Perlembagaan Malaysia. Ini adalah kesimpulan awal oleh Penulis, berhubung penulisan Lee Ban Chen.

Realiti Sejarah Malaya Sebelum Pengenalan Perlembagaan Malaysia
Sebenarnya asas sejarah agak tidak kuat untuk memberi nilai dan warna pada pembentukan satu-satu perlembagaan. Hal demikian kerana Perlembagaan itu sendiri lahir dari falsafah dan norma-norma Undang-Undang (rule of law) secara hidup dan relatif.

Walaupun demikian, sesuatu hakikat yang harus diterima semua pihak adalah nilai-nilai yang sudah ada dalam satu-satu perlembagaan mustahil wujud kecuali turut menerima pengaruh sejarah sebelum satu-satu perlembagaan itu wujud. Rasionalnya, perlembagaan adalah suatu perlanjutan pada persetujuan dan cita-cita di kalangan rakyat; sudah pasti sarat dengan sejarah perjuangan rakyat itu sendiri.

Perlembagaan Malaysia juga begitu. Sejarah perjuangan rakyat sebelum merdeka dan sebelum rakyat Malaysia kenal Perlembagaan Malaysia; sebenarnya mewarnai Perlembagaan Malaysia kini.

Sebelum merdeka, sikap menentang penjajah amnya didominasi oleh komuniti Melayu. Paling lewat perjuangan etnksiti Melayu dilakukan oleh Pertubuhan Melayu Bersatu Melayu (PKMBR) (kini dikenali UMNO). UMNO menentang pengenalan Malayan Union (MU) sekitar 1956; namun akhirnya mereka sendiri dalam beberapa perkara teras berhubung nasionalisme dan ketuanan Melayu – sudi berkongsi kuasa dengan komuniti Cina dan India yang masing-masing melalui MCA dan MIC – sehingga terbentuk Perikatan (kini dikenali sebagai Barisan Nasional); ketika pembentukan Federation of Malaya oleh pihak kolonial Inggeris. (Rustam A. Sani, 2004:7-9)

Sejarah hakiki nasionalisme Melayu lebih jelas dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM). Gagasan “Melayu Raya” kuat diperjuangkan oleh KMM sejak paling lewat pada 1938 lagi. Gagasan “Melayu Raya” ini membawa pada penolakan secara keseluruhan kolonialisme di Malaya (kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia) secara redikal melalui pentas politik. Implikasinya, British melihat KMM ini mampu menggugat status quo mereka; akhirnya British telah mengharamkan KMM. (Rustam A. Sani, 2004:5)

Pada zaman imperialis Jepun, KMM walaupun peringkat awal bekerjasama dengan Jepun; namun kerjasama ini tidak lebih demi mengusir imperialis Inggeris dari Persekutuan Tanah Melayu. Sekitar tahun 1942, KMM sendiri telah melakukan beberapa cabaran terbuka kepada imperialis Jepun setelah mereka sedar bahawa janji Dai Toa Senso (Asia Untuk Asia) adalah suatu propaganda semata-mata. (Ramlah Adam, 2004:29-40)

Perjuangan nasionalisme Melayu ini telah dilanjutkan selepas kolonialisme Inggeris kembali bertapak di Malaya. Perjuangan “Melayu Raya” dan anti-penjajah (merujuk kepada anti kolonial Inggeris) ini dapat dilihat pada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan sebagainya.

Lebih dari itu, PKMM sendiri pernah bergabung dengan PKMBR demi memperkukuhkan wawasan “Melayu Raya” dan sikap anti-kolonial Inggeris. PKMM melalui Dr. Burhanuddin al-Helmy sendiri dalam Kongres Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman KL telah menolak takrif “Malayan” kepada etnik Cina dan India dalam pembentukan Malaya.

Tegas Dr. Burhanuddin tersebet sebagaimana berikut, “…Kita Bersatu dengan PKMBR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu-Melayu) kerana ingin melaksanakan sebenar-sebenar hasrat bangsa Melayu. Bersama-sama kita menumbangkan Malayan Union…” (Ramlah Adam, 2004:147-148)

Akhirnya, hanya PKMBR (kini dikenali sebagai UMNO) sahaja mempersetujui jus soli melalui jalan istana (Majlis Raja-Raja Melayu). UMNO sendiri terlibat dalam persetujuan tersebut sebagaimana penyertaan public fegure mereka iaitu Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. (Ramlah Adam, 204:150-158)

Dalam bacaan Penulis, PAS pada peringkat awal juga turut sekata dengan UMNO dalam isu ketuanan Melayu. Namun, akhirnya PAS menjadi pesaing kepada UMNO sejak 1951 apabila PAS melihat UMNO bukan sahaja terlalu tolerensi dengan pihak Kolonial Inggeris, malah isu kepentingan Islam yang menjadi isu pokok dan cita-cita PAS sendiri seolah-olah diabaikan oleh kepemimpinan UMNO.

Di samping itu, Penulis melihat UMNO sebenarnya mengkhianati wawasan “Melayu Raya” dan sanggup menjadi “boneka” kepada kolonial Inggeris. KMM, PKMM, API, AWAS dan beberapa pertubuhan politik berhaluan kiri dan anti kolonial telah diharamkan oleh Inggeris. Malayan Union sendiri walaupun ditolak oleh PKMBR dan PKMM, namun akhirnya UMNO sendiri bersikap “longgar” dalam isu kepentingan bangsa sebelum Malaya menempuhi merdeka 1957 dan kenal Perlembagaan Malaysia.

Sesuatu yang menarik, penentangan rakyat terhadap kolonial ini turut dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), Rejimen 10 dan sebagainya. Penentangan mereka ini tidak melalui pentas-pentas politik kepartian/kepertubuhan, sebaliknya melalui jalan gerila dan bersenjata dalam belantara.

Hakikat sejarah ini sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh Abdullah C.D. yang pernah melakukan aksi penentangan terhadap kolonial Inggeris demi menuntut kemerdekaan hakiki bangsa Melayu. Beliau berjuang secara gerila melalui Parti Komunis Malaya (PKM) di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka. (Islam Melayu Komunis, 2005:30-31)

Jika persembahan sejarah diukur secara objektif, adillah jika individu-individu seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah hatta Kamaruzzaman Teh seharusnya dinobatkan bersama sebagai patriot-patriot kemerdekaan nusa Malayu di Malaysia ini.

Dari persembahan sejarah di atas juga, Penulis melihat perjuangan kemerdekaan, pemeliharaan kedudukan etnik Melayu hatta anti kolonialisme Inggeris sebenarnya melalui dua pendekatan. Pertama, melalui jalan Parti Politik dan pergerakan tersebut berlaku atas pentas politik.

Kedua, melalui pendekatan gerila dan bersenjata. Jalan ini sebagaimana yang diambil oleh PKM dan Rejimen 10 sendiri. Rujuk Ramlah Adam (2004), Gerakan Redikalisme di malaysia (1938-1965); Mohamed Salleh Lamry (2006), Gerakan Dan Tokoh Kiri; Rustam A. Sani (2004), Kemana Perginya Nasionalisme Melayu?; dan sebagainya.

Ketiga, dominasi perjuangan “Melayu Raya” atau patriot-patriot nasionalis majoriti terdiri oleh bangsa Malayu; secara langsung membentuk sikap British sendiri dalam membentuk perlembagaan Malaysia dengan mengambil kira perjuangan nusa Melayu.

Selain UMNO, pertubuhan seperti KMM, PKMM, API, AWAS dan lain-lain semuanya tegas dalam soal pemeliharaan hak-hak Melayu di Malaya; termasuk menolak Malayan Union. Walaupun peringkat awal penolakan ini dipimpin oleh Onn Jaafar dan UMNO, akhirnya UMNO sendiri bersikap toleransi dengan Kolonial Inggeris.

Lebih daripada itu, UMNO sendiri sudi berkongsi kuasa dengan beberapa parti-parti yang berlatarbelakangkan bangsa. MIC mewakili suara kaum India manakala cita-cita kaum Cina dilangsungkan dalam MCA. Perlembagaan Malaysia sendiri berdiri atas semangat saling toleransi di antara ketiga-tiga parti kaum ini. Tidak hairan mengapa unsur etniksiti dan sebagainya telah didapati dalam perlembagaan; dan dalam rupa yang sangat dominan. Ini sosial kontrak antara ketiga-tiga parti bangsa, bukan rumpun rakyat yang diversiti.

Implisitnya, dalam Perlembagaan Malaysia, kita dapati nilai diversiti ini seolah-olah tidak dijunjung secara hakiki. Bagi Penulis, Lee Ban Chen seharusnya melihat bersama latarbelakang sejarah pembentukan Malaya (kemudian Malaysia) dan sejarah sebelum pengenalan Perlembagaan Malaysia selain menimbang tara dengan beberapa spirit lain (seperti Dekarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dll) secara holistik; tidak secara terpisah-pisah.

Mengapa hari ini bangsa-bangsa lain mahu mempertikaikan sesuatu sosial kontrak yang sudah dilakukan oleh parti-parti kaum bagi mewakili cita-cita mereka. Jawapannya adalah golongan ini sama ada tidak memahami realiti sejarah pengenalan Perlembagaan Malaysia; atau terlalu menjunjung tinggi nilai-nilai kekinian tanpa mengambil kira realiti dan jatidiri tamadun Malaysia ini sendiri secara holistik dan jujur.

PERSOALAN POKOK DALAM ISU DIVERSITI DAN DEMOKRASI
Saya melihat beberapa sikap Lee Ban Chen berhubung diversiti menurut Perlembagaan Malaysia adalah sesuatu yang tidak bersifat adil dan objektif. Pendirian Lee Ban Chen ini mungkin bertitik tolak pada beberapa faktor. Pertama, realiti perlaksanaan tatacara sebagaimana dalam Perlembagaan ini dilihat tidak demokratik.

Sebagai contoh, realiti pihak kerajaan yang didominasi oleh UMNO dan BN dewasa ini bersikap double standert dalam memelihara hak-hak bangsa-bangsa non-malay dalam konteks Malaysia melalui pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannnya Dasar Pembangunan Nasional (DPN); akhirnya realiti ini disimpulkan sebagai anti-diversiti atau anti-demokrasi dan dinisbahkan pada Perlembagaan Malaysia yang anti diversiti dan demokrasi.

Posisi bangsa Melayu hakikinya ada dalam Perlembagaan Malaysia. Pengenalan dasar-dasar ini oleh kerajaan adalah suatu manefestasi Perkara 153 – persoalan Kedudukan Istimewa Bangsa Melayu (Special Position) sebagaimana yang dijunjung oleh semua rakyat Malaysia. Tidak timbul lagi persoalan diversiti dan demokrasi sama ada wujud dalam perlembagaan atau tidak kerana dalam pembentukan Perlembagaan Malaysia jika dilihat melalui disiplin sejarah, kedua-dua aspek tersebut bergerak seiring.

Begitu juga berhubung persoalan kedudukan Islam, Bahasa Melayu, Institusi Beraja Berperlembagaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Kesemua parkara-perkara ini turut dibentuk melalui jalan diversiti dan demokrasi ketika Perlembagaan Malaysia dibentuk dan dipersetujui bersama oleh ketiga-tiga parti bangsa kompenan tersebut.

Kesimpulan
Penulis melihat, akar pada polimik diversiti dan demokrasi sebagaimana yang diutarakan oleh Lee Ban Chen ini bertitik-tolak pada tatacara UMNO/BN sendiri dalam mempraktikkan spirit bersama sebagaimana dalam perlembagaan.

Bagi Penulis, Perlembagaan seharusnya dilihat sebagai suatu batasan kuasa yang sepatutnya dilunaskan oleh pihak kerajaan. Batas-batasan ini sepatut ditunaikan oleh kerajaan (merujuk pada UMNO/BN); bukan dituntut oleh rakyat yang diversiti dalam lanskap negara yang demokratik.

Dengan ertikata lain, keistimewaan orang Melayu menurut Perlembagaan bukan membawa makna bangsa-bangsa lain seharusnya ditekan dan ditindas oleh kerajaan. Tetapi hak-hak istimewa orang melayu tetap dipelihara kerana ia adalah jatidiri negara bangsa Malaysia, di samping hak-hak asasi bangsa-bangsa lain terus terpelihara dalam batasan-batasan perlembagaan.

Sekiranya pencapaian ekuiti bumiputera melalu pengenalan DEB dan DPN masih gagal dicapai, jangan UMNO menghunus keris ke langit dan mengugut bangsa-bangsa lain dengan propaganda “ketuanan Melayu”; atau Pemuda MCA menjunjung Perlembagaan Malaysia sebagai respon balas kepada UMNO (Si Penderhaka Melayu). Realiti kegagalan DEB dan DPN ini adalah persoalan kegagalan UMNO dan BN dan liabiliti kegagalan ini seharusnya dipikul oleh mereka; bukan oleh bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Perlembagaan Malaysia adalah sesuatu yang kaku. Yang memberi nyawa “keadilan hak” pada perlembagaan Malaysia ini adalah pelaksana (pihak kerajaan) berdasarkan Perlembagaan Malaysia sendiri. Tidak dapat tidak nilai “keadilan hak” ini semestinya ditegakkan terlebih dahulu dalam diri individu yang bakal memikul bebal Perlembagaan Malaysia itu sendiri.

Menjadi suatu saranan kepada PAS, DAP, PKR, Non-Goverment Individual (NGI) membuktikan mereka lebih diversiti dan menjunjung prinsip demokrasi dalam landasan Perlembagaan Malaysia menjelang Pilihanraya Umum Ke-12 ini. Biar rakyat menilai dan menentukan kepemimpinan negara kelak. Adakah UMNO dan BN masih relaven dalam menjana keadilan hak rakyat Malaysia yang plural dan akdemia dewasa ini?

Bagi penulis, Islam sangat menghargai diversiti (kepelbagaian); termasuk kepelbagaian bangsa dan rumpun bahasa. Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah al-hujurat: 13)

Jika dilihat dalam Politik dan Perlembagaan, “…(perlembagaan) harus menjadi brek kepada autoriti kekuasaan, khususnya apabila operasinya mula menimbulkan tanda tanya dan keanihan.” (Abdul Aziz Barri, 2005:11)

Malangnya Malaysia dipimpin oleh UMNO/BN yang langsung tidak menghayati diversiti dan demokrasi sebagaimana yang diperuntukan oleh perlembagaan, yang akhirnya kita rakyat Malaysia melihat kondisi double standert yang berlaku di kalangan rakyat dewasa ini (pada tahap yang tenat), sebagai kesimpulan anti-akademia bahawa Perlembagaan Malaysia anti-diversiti dan anti-demokrasi.

Adakah Perlembagaan Malaysia anti-diversiti atau anti-demokrasi; atau kita (bangsa Malaysia) sebenarnya tidak faham tatacara Perlembagaan Malaysia? Sejarah Pembentukan Perlembagaan Malaysia adalah salah satu jawapan akademia yang seharusnya dihayati oleh bangsa Malaysia amnya -END